CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, November 1, 2012

[kopi.pes] CALON SUAMI YANG BAIK



karya asal :- [ http://www.ilmi-islam.com/calon-suami-yang-baik/ ]
Pernikahan. Saya yakin fitrah ini wujud dalam hati setiap manusia. Namun, untuk menuju ke arahnya bukan satu perkara yang mudah. Ada saja cabaran dan ujian yang perlu dilalui. Jangan mengeluh. Jangan mengalah. Ketahuilah, Allah sengaja menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian untuk meningkatkan diri kita supaya menjadi manusia yang lebih beriman serta meninggikan darjat kita di sisiNya.
Rumah tangga bukan hanya dibina atas rasa suka-suka, sayang-sayang, cinta-cinta. Malah, lebih dari itu. Rumah tangga dibina berdasarkan persediaan dan tanggungjawab. Seseorang yang mahu membina rumah tangga itu perlu membina peribadinya untuk memikul tanggungjawab yang bukan mudah.
Setiap manusia ada prinsip dan pendirian masing-masing dalam meletakkan sesuatu sebagai asas pemilihan bagi sesuatu perkara. Seperti juga dalam pemilihan bakal isteri dan suami. Pernah saya diajukan soalan oleh sahabat-sahabat akhawat saya.
“Kalau awak, awak nak suami yang macam mana?”
“Semua orang mesti ada ciri-ciri yang diidamkan kalau nak pilih suami kan? Awak ada tak?”
Pelbagai soalan lagi yang saya terima. Pernah saya bagi jawapan “Sesiapa pun boleh” atau “Yang beragama” atau yang seumpama waktu dengannya. Namun, masih ada yang belum berpuas hati dengan jawapan yang saya berikan. Sehingga ada yang bertanya, “Takkan tak ada yang spesifik? Ni bukannya meletakkan sebagai syarat wajib. Tapi, cuma ciri-ciri yang kita nak.”
Saya bukanlah seorang yang sempurna untuk mendapatkan yang sempurna. Justeru itu, tidak layak bagi saya untuk menetapkan apa yang saya mahu. Namun, selepas menerima beberapa persoalan itu, saya mula berfikir. Tidak salah untuk mempunyai sebarang ciri idaman lantas mengutarakan pendapat. Sejujurnya, saya tidak menemui sebarang jawapan. Mungkin kerana tika itu saya tidak memikirkan lagi soal baitul muslim ini. Sehinggalah suatu hari saya terbaca Majalah Solusi Edisi 36 yang bertajuk Cahaya Dalam Kegelapan Subuh. Pada saat saya membaca setiap penulisan dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi serta kolumnis yang lain di dalam majalah itu, saya rasa kagum.

“Kekuatan umat Islam pada solat Subuh berjemaah!” Begitulah yang banyak ditekankan di dalam majalah itu. Kebenaran inilah yang membuatkan saya tersedar.

Saya akui. Keadaan umat Islam pada hari ini makin sakit, makin parah. Cinta dan nafsu dianggap tuhan, akhlak semakin runtuh, kezaliman berleluasa dan banyak lagi yang telah rosak. Justeru, hal ini perlu dipulihkan. Dan proses pemulihan ini perlu dilakukan bermula dari dalam diri setiap Muslim.
Sebarang bentuk permulaan ke arah yang lebih baik adalah bermulanya dari diri sendiri. Kenali siapa itu Maha Pencipta. Kembali kepada Dia. Dekatkan diri denganNya. Bagaimana hubungan kita dengan Allah? Persoalan itu yang sepatutnya disoal kepada diri sendiri. Kemudian, terus membaikinya hari demi hari. Selepas itu, barulah berfikir untuk memilih calon suami atau isteri yang baik. Untuk mendapatkan bakal suami atau isteri yang baik, kita perlu menjadi baik dahulu. Rumah tangga itu adalah asas pembangunan ummah. Yang bakal membimbing isteri dan keluarga adalah suami. Lantaran itu, saya berfikir, untuk membina rumah tangga yang baik perlu bermula dengan diri sendiri, seterusnya pemilihan suami yang baik.
Semestinya penulisan ini saya lebih utamakan buat muslimat kerana membicarakan tentang calon suami. Di sini, saya ingin mengutarakan pendapat tentang calon suami yang baik iaitu seorang lelaki yang istiqamah menunaikan solat jemaah di masjid terutama solat Subuh.

Kenapa saya megutarakan pendapat ini?
(1) Seorang lelaki yang istiqamah menunaikan solat jemaah di masjid terutama solat Subuh sudah semestinya seorang yang mengutamakan Allah S.W.T dalam segala hal. Kerana apa saya katakan begitu? Mudah saja jawapannya. Kerana dia berjaya dengan cemerlang melawan nafsu dan godaan syaitan untuk bangun awal pagi menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Ini menunjukkan perasaan cinta yang mendalamnya terhadap Ya Khaliq. Jawapan yang mudah tetapi diakui amat berat untuk dilakukan.
Dan ketahuilah Allah sangat mengagungkan waktu Subuh dan tidak pernah bersumpah dalam Al-Quran dengan waktu solat kecuali solat Subuh dan Asar.
Allah berfirman yang bermaksud : “Demi fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah.” (Surah Al-Fajr ayat 89)
Allah S.W.T juga telah berfirman : “Dan dirikanlah pula solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh malaikat.” (Surah Al-Isra’ ayat 78)
(2) Apabila seorang lelaki istiqamah menunaikan solat jemaah di masjid terutama solat Subuh merupakan seorang yang mengutamakan Allah Ta’ala dalam segala hal yang dia lakukan, juga mencintai Penciptanya, sudah tentu dia seorang yang mencintai Rasulullah S.A.W, rasul junjungan umat Islam. Jika dia mencintai baginda Rasulullah S.A.W, sudah tentu segala ajaran, sunnah, bimbingan dari Baginda S.A.W diikutinya. Kerana itu juga dia menjadikan Rasulullah S.A.W dan para salafussoleh sebagai teladan. Dan percaya akan rahsia kemenangan Islam seperti perjuangan Rasulullah S.A.W serta para sahabat beribu-ribu tahun dahulu.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Jika kamu menolong agama Allah, maka Dia pasti akan menolongmu dan menguhkan kedudukannya.” (Surah Muhammad ayat 7 )
(3) Seterusnya, jika seorang lelaki istiqamah menunaikan solat jemaah di masjid terutama solat Subuh merupakan seorang hamba Allah yang taat padaNya, rasulNya, sudah semestinya dia sangat taat kepada ibu bapanya. Anak yang soleh tidak akan sesekali melebihkan dirinya mengatasi ibu bapa sehingga sanggup mendahulukan diri sendiri berbanding keperluan mereka. Lelaki seperti ini sudah tentu hormat akan ibu bapanya. Juga adik-beradiknya dan ahli keluarga yang lain serta menghormati orang lain. Baik yang muda ataupun yang lebih tua.
“Orang yang sempurna kemanusiaannya ialah orang yang taat kepada ibu bapanya, menghubungi kerabatnya, hormat kepada kawan-kawannya dan baik budi kepada keluarga.” (Al-Fudail bin Iyad)
Bagi saya, tidak mustahillah bahawa lelaki yang mengutamakan hal ini merupakan seorang yang berpegang teguh dengana agama Islam kerana dia mengutamakan Allah Ta’ala, Rasulullah S.A.W serta ibu bapanya. Dan sudah semestinya dia seorang yang meletakkan perasaan hormatnya yang paling tinggi terhadap Penciptanya, Rasulnya dan ibu bapanya.
Jika dia menghormati 3 yang dinyatakan di atas, sudah tentu dia akan menghormati ahli keluarga, sahabat, orang yang lebih tua, orang yang lebih muda dan jika ingin mencari seorang isteri – sudah tentu dia akan menghormati wanita tersebut. Dan satu lagi perkara yang dapat dilihat adalah apabila lelaki itu menekankan aspek ini dalam kehidupan sehariannya, justeru apabila dia mendirikan rumah tangga, pasti hal ini yang akan diterapkan kepada isteri dan anak-anaknya. Apabila anak-anaknya melihat dan melakukan perkara yang sama, ia akan berkembang generasi demi generasi. Apabila semakin ramai yang melaksanakan solat Subuh berjemaah ini, makin bertambahlah kekuatan umat Islam!
Jika kita lihat apa yang berlaku pada hari ini, ramai umat Islam yang berlumba-lumba melakukan solat sunat Aidilfitri dan solat sunat Aidiladha secara berjemaah. Namun, apabila tibanya solat-solat wajib terutama Subuh, fenomena ini jarang dijumpai. Lihat saja di masjid atau surau yang berdekatan. Ia mungkin dipenuhi ketika solat wajib yang lain. Tapi, solat Subuh? Mungkin bilangan Muslim yang melakukannya secara berjemaah boleh dikira dengan jari. Apa pun alasan kita, solat Subuh berjemaah wajar diutamakan daripada sebarang solat sunat. Cuba kita semua bayangkan sekiranya solat Subuh berjemaah seperti solat sunat Aidilfitri berjemaah dan solat sunat Aidiladha berjemaah. Allahuakbar! Di situlah terletaknya kekuatan umat kita – umat Rasulullah S.A.W.
Ironinya, semua solat mudah dikerjakan secara berjemaah (bagi yang biasa) tapi bukan mudah untuk seseorang itu untuk bangun solat Subuh berjemaah. Sebab itulah Allah meletakkan ganjaran solat Subuh berjemaah antara yang paling besar pahalanya. Solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh ganjarannya seperti dunia dan segala isinya.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat dua rakaat (sebelum) solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” (HR. Muslim)
Saya ingin berkongsi kenyataan di FB yang dipos oleh hamba-hamba Allah yang mengutarakan pendapat yang sama.
“Pilihlah bakal suami yang menjaga solatnya dan sering solat berjemaah di masjid terutama solat subuh. Pilihlah bakal suami yang mampu menerima kita seadanya terutama kekurangan kita dan berusaha mendidik kita ke jalan yang diredhai Allah SWT.” (syahirul.com)
“Bakal-bakal ayah kalau solat subuh pun tak jaga,
Janganlah cerita hendak memetik buah dari syurga,
Nanti mahu didik anak dengan contoh yang bagaimana?
Kalau diri tidak bersedia tapi sibuk nak bernikah sahaja.” (Afdholul Rahman – LangitIlahi.com)
Saya juga teringat kata-kata pensyarah saya yang sangat saya hormati ketika beliau sedang mengajar di dalam kelas iaitu Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang kini menjadi penceramah bebas di TV Al-Hijrah. Alhamdulillah.
“Kalau kamu mahu mencari bakal suami, kamu mesti mencari yang menjaga solat Subuhnya. Kerana apa? Kerana solat Subuhlah yang paling sukar dilakukan oleh Muslim. Nak melawan nafsu, godaan syaitan yang suruh sambung tidur, bukan mudah. Dan kalau kamu mahu yang lebih baik, carilah yang mendirikan solat Subuh berjemaah. Ya. Mungkin ramai yang boleh mendirikan solat Subuh. Tapi, yang mendirikan secara berjemaah bukan senang nak jumpa.”
Lelaki yang istiqamah menunaikan solat jemaah di masjid terutama Subuh adalah wajar dijadikan calon suami. Hal ini kerana inilah permulaan yang membawa kepada perkara baik yang lain-lain akan dilakukan oleh seorang suami dari setiap genap sudut. Namun, saya cuma manusia biasa. Yang ada impian dan harapan. Saya cuma manusia yang tidak sempurna sama sekali. Tidaklah layak untuk menerima bakal suami seperti yang dinyatakan di atas.
Fitrah dunia jika kita inginkan seseorang yang mempunyai sifat atau karakter lain dari yang lain dan yang paling utama segala yang kita impikan pasti baik-baik belaka. Saya tidak terkecuali dari impian ini. Benar. Namun, tidak semestinya kita akan dapat apa yang kita impikan kerana wajib untuk kita berserah dan pecaya pada qada’ dan qadar yang telah Allah Ta’ala tentukan untuk kita semua. Saya sama sekali tidak mengatakan pendapat ini adalah yang terbaik kerana saya yakin masih ramai muslimat yang mempunyai pendapat yang lebih baik. Dan saya yakin bahawa pendapat kalian jauh lebih baik daripada saya. InsyaAllah.
Tetapi, ingatlah wahai muslimat yang dicintai Allah Ta’ala…

“Jodoh bukanlah matlamat. Ia cuma alat untuk lebih dekat denganNya. Tika ini, jika jodoh belum kesampaian, jangan jadikannya penghalang untuk tetap mencapai matlamat kita menjadi hamba dan khalifah Tuhan. Hanya cintaNya tidak mengecewakan.” (dipetik dari Blog Sebarkan Bahagia – Ustazah Fatimah Syarha)
“Perkahwinan bukanlah matlamat cinta. Ia cuma alat untuk lebih mudah mendapat cintaNya. Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan perkahwinan atau tidak, ia tidak dapat menghalang seseorang untuk mendapatkan cinta Allah. Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta!” (dipetik dari Segmen Remaja : Majalah Solusi Edisi 36 – Ustazah Fatimah Syarha)


Wajarlah untuk kita tidak terlalu memikirkan soal jodoh. Kerana masih banyak lagi tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah untuk dilaksanakan. Ini sekadar pandangan dari diri saya sendiri. Tidak lebih dari itu. Saya bukanlah seorang ahli ulama. Saya bukan juga seorang ustazah. Saya bukannya yang pandai berbicara baik dalam berkata-kata mahupun dalam penulisan. Saya cuma manusia biasa. Hamba yang hina di mata Allah Azza Wa Jalla. Setiap apa yang saya coretkan ini hanyalah pandangan semata. Untuk dibuat muhasabah bersama.


Semoga DIA permudahkan niat kita semua untuk menjadi bakal isteri yang solehah sebelum memiliki bakal suami yang soleh. Mungkin tidak boleh sepenuhnya tapi mencuba dan berusaha untuk ke arah itu pasti boleh. Insyaallah.


Ingatlah saranan Rasulullah S.A.W.


LELAKI : Solat subuh berjemaah di masjid


WANITA : Lebih afdhal solat di rumah pada awal waktu tetapi tidak ditegah jika ingin berjemaah di masjid.
Sesungguhnya, solat itu tiang agama. Di akhirat nanti, yang mula-mula akan dinilai adalah solat. Kerana solat itu adalah diutamakan oleh Allah Ta’ala. Orang yang mengutamakan solat adalah orang yang mengutamakan Allah.


Untuk golongan wanita mahupun lelaki yang berhasrat mencari calon suami atau isteri suatu hari nanti, pilihan di tangan anda.



What you give, you get back. ^_^
Moga Allah redha. Wallahu’alam.